Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, Azizan Desa, 60, yang merupakan pemandu kereta Audi menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.45 petang ketika dirawat di Hospital Taiping.

Katanya, ini menjadikan jumlah kematian akibat kemalangan tersebut meningkat kepada lima orang.

"Bedah siasat telah dijalankan pada pukul 9.30 malam semalam dan punca kematian akibat kecederaan dalaman," katanya.

Dalam nahas pada pukul 1 petang Ahad lalu,  isteri dan anak lelaki Azizan iaitu  Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan Muhammad Khairul Khawrizmie,17, terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.

Kemalangan  turut meragut nyawa pemandu dan penumpang kereta Nissan Frontier, Rosli Zakaria, 54, dan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Muhamad Syafiq, 23. - UTUSAN ONLINE