Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meninjau kerosakan struktur yang berlaku dalam kejadian tersebut.

“Runtuhan struktur dinding bangunan berpunca akibat tangki pecah.

“Dalam kejadian ini, terdapat empat mangsa cedera dan tiga kereta serta 10 motosikal mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian hari ini.

Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, terbabit dalam operasi pengosongan bangunan itu.

Mereka turut dibantu pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdul Wahab berkata, tempoh penutupan semua operasi di Kompleks Teruntum akan ditentukan kemudian, selepas melakukan pemeriksaan lanjut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan pihak pengurusan bangunan berkenaan.

“Arahan ini (penutupan) membabitkan premis perniagaan dan pejabat kerana kita dimaklumkan bekalan air serta sistem penghawa dingin di Kompleks Teruntum tidak berfungsi berikutan kejadian ini.

“Kita juga bimbang jika masalah (runtuhan) struktur dinding bangunan terbabit boleh berulang, ini untuk tujuan keselamatan semua peniaga dan pekerja yang bertugas di bangunan ini,” katanya.

Kompleks Teruntum mula beroperasi pada Januari 1980 dan mempunyai 22 tingkat dengan tiga daripadanya menempatkan pelbagai premis perniagaan.

Difahamkan, kali terakhir pihak pengurusan bangunan itu menukarkan tangki air yang berada di tingkat 4 kompleks itu ialah kira-kira 15 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE