Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi, pemandu van pelancong, Wong Pei Yin, 21, bersama dua pelancong iaitu Gabbie Chong Xiao Thong, 20, dan Steve Sc Aaron P. Kok, 25, mengalami cedera ringan manakala tujuh lagi dilaporkan selamat.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kemalangan berlaku ketika van pelancong yang membawa sembilan penumpang dipandu dari arah Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

"Sebaik sahaja van terbabit tiba di tempat kejadian di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah lori minyak yang berada di lorong kiri memasuki lorong kanan.

"Terkejut dengan tindakan pemandu lori minyak itu, pemandu van cuba mengelak ke kiri tetapi terlanggar bahagian belakang lori tersebut hingga menyebabkannya terbalik dan terseret ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fadil, akibat kejadian itu, van pelancong tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sebelah kanan manakala lori mengalami kerosakan di bahagian belakang sebelah kiri.

Katanya, siasatan mendapati pemandu lori minyak dan van pelancong itu tidak di bawah pengaruh alkohol.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu lori minyak yang mengubah laluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Utusan Online.