Demikian dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan apabila beliau menyifatkan usaha itu merupakan keutamaan pihaknya ketika ini di samping mencari pelbagai pendekatan baharu yang mampu menjadikan parti terus relevan mengikut perkembangan semasa.

“Kalau kita ikutkan sejarah sesebuah empayar atau tamadun, kekalahan serta perpecahan yang berlaku membabitkan kuasa pemerintahan kebanyakannya bukan disebabkan oleh unsur luaran tetapi daripada unsur-unsur dalaman.

“Justeru kalau nak mengatakan UMNO tidak boleh bangkit daripada kekalahan (dalam Pilihan Raya Umum Ke-14), saya fikir kita boleh bangkit semula kerana UMNO ada asas sendiri. Kita perlu selesaikan isu dalaman terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 300 orang yang menghadiri program Wacana: Mampukah BN (Barisan Nasional) Bangkit Semula anjuran Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 di sini, hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel ialah Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada masa sama, Mohamad turut mengingatkan semua ahli dan kepimpinan UMNO pada semua pe­ringkat supaya memperkasakan parti di peringkat cawangan dan akar umbi sebagai satu perkara penting dan bukan lagi menunjukkan kekuatan hanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila setiap kali perhimpunan agung diadakan.

Sementara itu, Zambry ketika membicarakan tajuk wacana itu menyatakan, survival UMNO pada masa depan harus berlandaskan kepada prinsip kejujuran selain mengakui setiap kelemahan yang ada di samping melaksanakan penambahbaikan yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

Ini kerana katanya, rakyat ketika ini menuntut satu bentuk ketelusan bukan sahaja dalam pentadbiran bahkan dalam politik itu sendiri.

“Selain itu, kita juga perlu melihat kepada struktur perjuangan parti mengikut kesesuaian dengan keadaan semasa. Mana yang perlu kita kekalkan, kita kekal dan pada masa sama kita wujudkan struktur baharu de­ngan mengenalpasti apakah nilai serta isu integriti,” jelasnya.

Pandangan sama turut dilontarkan Asyraf Wajdi yang mana beliau menegaskan, UMNO perlu kembali kepada asas perjuangan asal parti itu yang lahir daripada keinsafan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

Pada masa sama, jela beliau, semua pihak dalam UMNO perlu mengubah budaya kerja dengan memperbanyakkan hubungan di peringkat akar umbi.

“Kita tidak boleh ‘berlagak’ seperti dahulu. Kita perlu kukuhkan akar umbi dan kena ubah budaya serta balik kepada asas,” ujarnya.