Namun, jarang sekali jika pegawai dan anggota bomba dipanggil untuk menyelamatkan haiwan di laut terutama ikan paus yang merupakan mamalia dilindungi dan sukar ditemukan di perairan negara ini.

Justeru, pengalaman terlibat dalam operasi menyelamatkan seekor ikan paus yang terdampar di tepi pantai Kuala Sungai Siwak, Baram di sini hari ini, dianggap sejarah bagi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Ali Bema Jelek.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat dalam pasukan bomba turut menganggap pengalaman dalam operasi menyelamat itu cukup unik dan satu ‘hadiah’ istimewa bagi dirinya sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 yang diraikan hari ini.

‘‘Inilah pengalaman pertama saya dan anggota terlibat dalam operasi menyelamatkan seekor ikan paus iaitu mamalia yang tidak pernah dilihat sepanjang hayat sebelum ini.

‘‘Dalam operasi ini, saya hanya mengeluarkan arahan secara spontan kepada anggota kerana kami tiada peralatan khas dan tidak pernah mendapat latihan tentang prosedur menyelamat haiwan di laut seperti ikan paus,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tentang operasi menyelamat itu, Ali Bema berkata, ikan paus terbabit ditemukan oleh dua nelayan dari Kuala Sungai Siwak semasa pulang menangkap ikan kira-kira pukul 6 pagi ini.

Beliau berkata, pada mulanya, mereka cuba menyelamatkan sendiri ikan terbabit tetapi gagal menolaknya ke laut kerana terlalu berat iaitu kira-kira 1.5 tan dan panjang 9.1 meter.

Justeru, katanya, nelayan ter­­­­­babit mengambil keputusan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan mamalia berkenaan.

‘‘Saya bersama anggota bergegas pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 7.11 pagi.

‘‘Melihat keadaan paus yang agak lemah kerana dipercayai sudah lama terdampar, saya mengarahkan badan mamalia itu disimbah dengan air sebelum lebih 20 orang terdiri daripada bomba dan penduduk kampung menolaknya ke kawasan air yang lebih dalam,’’ katanya sambil memberitahu mereka mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menyelamatkan paus berkenaan.

Menurutnya, penemuan paus terbabit adalah pertama kali dilaporkan di perairan Kuala Sungai Siwak tetapi penduduk mendakwa pernah beberapa kali melihat dugong berkeliaran termasuk penemuan bangkai seekor anak dugong sebelum ini.