Hasrul Mohd. Heary Halim

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai sukarelawan Pertahanan Awam berpangkat prebet mene­rima panggilan daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah yang memintanya segera mengumpulkan anggota bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa ‘ombak besar’ di Kota Kuala Muda.

“Saya yang ketika itu bertugas selaku pembantu am rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bedong hanya dapat mengumpulkan empat orang.

“Apabila sampai di Balai Polis Kota Kuala Muda, saya dapati di situ ada beberapa mayat serta mangsa-mangsa lain yang tercedera de­ngan badan berselaput lumpur,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, mereka kemudiannya meneruskan perjalanan menuju ke lokasi tragedi dan di pertengahan jalan, kelihatan air selut dan lumpur memenuhi jalan raya dan kawasan sekitar walaupun cuaca pada masa itu cerah.

“Setibanya di lokasi kejadian, barulah kami diberitahu masih terdapat dua mangsa yang sedang dicari.

“Salah seorang mangsa merupakan wanita lumpuh berusia 70-an. Saya kemudiannya dibawa suami wanita berkenaan ke rumahnya bagi misi pencarian,” katanya.

Katanya, setibanya di sana didapati rumah kayu didiami pasangan itu musnah sama sekali dan hanya tinggal lantai.

“Kami mulanya mencari di sekeliling kawasan rumah tetapi gagal menemukan mangsa. Namun kira-kira 30 meter dari rumah mangsa, terdapat satu timbunan runtuhan rumah berkenaan.

“Tidak lama selepas mencari di situ, akhirnya kami berjaya menemukan mangsa,” jelasnya.

Hasrul memberitahu, beliau cuba menarik mangsa keluar setelah mengalihkan sebahagian daripada sisa runtuhan yang menimpa bahagian atas badan wanita itu.

“Usaha itu gagal kerana kami baru perasan yang terdapat tiang rumah menimpa bahagian pinggang dan kakinya. Setiap kali me­ngenang perkara itu, perasaan saya sering tersentuh dan ia sesuatu yang sukar dijelaskan,” katanya.