Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, kawasan tapak bazar larut malam di Bandar Perda di sini merupakan antara paling terjejas apabila puluhan khemah peniaga runtuh akibat dipukul ribut.

Katanya, hujan lebat dan angin kencang juga menyebabkan dinding cermin ruangan menunggu di Stesen Kereta Api Bukit Mertajam pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, polis juga menerima laporan kejadian pokok tumbang di menimpa kereta di sebuah flat di Jalan Permatang Pauh.

“Beberapa kawasan termasuk di pekan Bukit Mertajam juga ditenggelami air namun keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri memaklumkan antara kawasan terjejas banjir termasuk Permatang Rawa, Bulatan Seberang Jaya, Taman Tenggiri dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth berhampiran Hotel Pearl View turut ditenggelami air.

“Secara keseluruhan sebanyak 52 kawasan termasuk 20 buah rumah di Kampung Malaysia ditenggelami air,” demikian menurut laporan berkenaan. - UTUSAN ONLINE.