Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, rakyat Malaysia di Lombok dinasihatkan untuk bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. 

"Mereka juga dinasihatkan untuk berada di tempat yang selamat dan menghindari kawasan-kawasan yang berisiko termasuk bangunan yang mengalami kerosakan.

"Rakyat Malaysia yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok dan Ngurah Rai di Bali pula diharap bersabar kerana kesesakan dijangka berlaku. Syarikat penerbangan akan membantu untuk penjadualan semula penerbangan keluar dari Lombok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut laporan media Indonesia, setakat pagi ini, sebanyak 82 mangsa dilaporkan terkorban, bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan selain banyak kerosakan bangunan dan rumah dilaporkan berlaku di seluruh pulau tersebut.

Tambah kenyataan itu, pada masa ini, pihak berkuasa Indonesia sedang menyelaras misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terkesan akibat gempa ini. 

Sehubungan itu, menurutnya, pihak kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi tersebut bagi memindahkan rakyat Malaysia ke tempat yang lebih selamat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, beberapa gempa susulan masih berlaku di Lombok dan warganegara Malaysia yang merancang untuk ke Lombok dalam masa diingatkan supaya sentiasa berwaspada serta memantau perkembangan semasa. 

"Mereka diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berdaftar dengan Kedutaan.

"Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 81380813036 (Whatsapp) serta emel [email protected]/ [email protected]," katanya.-UTUSAN ONLINE