Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Muhammad Rejab Lokman Hakim, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, rakan wanita mangsa yang parah di bahagian kepala kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Ujarnya, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa yang dalam perjalanan ke Puncak Alam secara tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan sebelum merempuh kereta Proton Pesona dan Toyota Hilux.

“Dalam pada itu, sebuah lagi kereta iaitu Perodua Alza yang turut melalui jalan terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar belakang Toyota Hilux,” katanya di sini hari ini.

Tambah Shafa’aton, tiga pemandu terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE