Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara kawasan yang terjejas akibat cuaca panas ketika ini ialah daerah Bau, Sri Aman, Pakan, Sibu, Kapit, Marudi, Limbang, Betong dan Asajaya yang mengalami gangguan bekalan air.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) berkata, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) melaporkan terdapat empat loji rawatan air di bawah seliaan mereka terjejas teruk akibat cuaca panas.

"Berikutan masalah itu, kerajaan Sarawak membuat keputusan mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana di peringkat daerah dan bahagian yang terjejas akibat kemarau berkuat kuasa serta-merta hari ini," katanya, di sini hari ini.

Menurut Douglas Uggah, keputusan mengaktifkan Bilik Operasi Bencana Negeri diputuskan dalam taklimat khas yang diadakan di Pejabat Residen Kota Samarahan semalam.

Katanya, berikutan arahan tersebut, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah menubuhkan Pasukan Timbakbalas Pertama yang bertanggungjawab melaporkan masalah air kepada pusat khidmat dan menghantar aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada penduduk sama ada air tangki dihantar oleh JBALB atau botol mineral diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - UTUSAN ONLINE

Notis

Notis arahan tentang pembukaan bilik operasi bencana yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini. - UTUSAN ONLINE