Che Ariffin Husain, 63, berkata, selain itu lebih 50 pokok kelapa dan pisang yang ditanam di kawasan itu turut dimusnahkan haiwan terbabit.

Katanya, gajah berkenaan telah menyerang lapan sangkar yang menempatkan 10,000 ekor ikan keli, talapia dan patin yang diternaknya lebih dua tahun lalu.

“Bermula Rabu lalu, kira-kira pukul 3 pagi, gajah berkenaan telah merosakkan tanaman dan sangkar ikan.

“Sebelum ini saya dapat menjana pendapatan RM50 sehingga RM100 sehari, namun sempena bulan Ramadan ini saya kehilangan sumber pendapatan selepas diserang gajah berkenaan,” katanya.

Che Ariffin berkata, dia telah membuat laporan pada pukul 10 pagi ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, beliau percaya gajah berkenaan masih berada di kawasan berhampiran dan haiwan itu aktif bergerak pada waktu malam.

“Ketika ini kira-kira 30 penternak dan pekebun di Kampung Meranto di sini berada dalam ketakutan dengan serangan gajah itu.

“Kami berharap pihak Perhilitan segera bertindak memasang perangkap bagi menangkap gajah itu,” katanya.

Che Ariffin berkata, serangan gajah liar itu merupakan kejadian kali pertama sejak dia bersama isterinya Hazmah Husin, 56, mengusahakan tanah kebun sejak tahun 2010. - UTUSAN ONLINE