S. M. Mohamed Idris

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri menerusi pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan tanah menjalankan siasatan dan pemantauan serius berhubung tahap risiko serta ancaman tanah runtuh.

Menurut beliau, kerja-kerja tanah di kawasan lereng bukit itu sama ada di bawah paras 76 meter dari aras laut seperti dibenarkan atau yang lebih berisiko melebih paras tersebut tidak wajar diteruskan apatah lagi dalam situasi cuaca tidak menentu ketika ini.

“Selain itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga tidak lagi wajar meluluskan sebarang permohonan daripada pemaju untuk membangunkan kawasan-kawasan lereng bukit termasuk di kawasan yang kurang 76 meter dari aras laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam dalam sidang akhbarnya di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya meneliti dengan serius projek-projek di lereng bukit bagi mengelak banjir.

Dalam masa sama, Najib turut mengingatkan pemaju supaya tidak hanya mengejar keuntu­ngan semata-mata sehingga dilihat mengabaikan aspek perlin­dungan kepada alam sekitar.

Dalam pada itu, S. M. Mohamed turut menggesa Kerajaan Pusat menerusi agensi sedia ada memainkan peranan dalam membantu menangani krisis lereng bukit di negeri ini.

Menurut beliau, sejumlah peruntukan kecemasan perlu di­salurkan kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih semula kawasan lereng bukit yang ditarah selain membantu menyelesaikan masalah tanah runtuh dan banjir kilat.