Gayah Mohd. Amin, 79, bersama anaknya, Norhayati Azmi, 27, dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran itu sewaktu mereka dalam perjalanan ke bank untuk menukar slip dana raya sebelum bergegas pulang.

Menurut Gayah, dia terlupa menutup api dapur ketika memanas lauk dan keluar selepas solat Zohor bersama anak perempuannya itu untuk urusan di bank.

Bagaimanapun sebelum tiba di bank, dia menerima panggilan telefon daripada jirannya bahawa rumahnya terbakar dan sejurus tiba di lokasi, anggota-anggota bomba bertungkus lumus mengawal dan memadamkan kebakaran.

"Kami terkilan kerana semua barangan keperluan harian termasuk stok makanan untuk dua bulan, pakaian raya serta beberapa peralatan dua mesin jahit anaknya dan perlalatan elektrik lain turut musnah.

"Namun kami dua beranak bersyukur kami selamat dan ketika kebakaran kami tiada di rumah," katanya sambil menambah buat sementara ini dia dan anaknya akan menumpang teduh di rumah seorang lagi anaknya di Kampung Bukit Tumbuh dekat sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, lima jentera bersama 26 anggota digerakkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Sebaik saja tiba di lokasi kejadian kami dapati api sudah membakar 80 peratus rumah tersebut," ujarnya

Menurutnya, pihaknya berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira pukul 2.23 petang namun rumah itu musnah 100 peratus,’’ katanya.

Rozizah berkata, akibat kebakaran itu, jumlah kerugian dianggarkan RM75,000 manakala punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamad turut meluangkan masa melawat tapak rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran itu.

Beliau memberi jaminan untuk cuba membantu mangsa mendapatkan kediaman sementara agar dapat menjalani ibadat puasa selain menyambut Aidilfitri nanti. - UTUSAN ONLINE