Seorang penduduk, Ramzi Nooh, 42, berkata, dia membina rumah rakit selepas bah kuning tahun 2014 yang menyaksikan rumah yang didiaminya sejak lebih 30 tahun lalu dihanyutkan arus Sungai Galas.

“Saya telah menerima bantuan rumah kekal banjir yang dibina oleh kerajaan tetapi banjir kali ini telah menenggelamkan rumah baharu itu. Mujurlah saya telah membina rumah rakit ini dan se­gera memindahkan barangan berharga seperti dokumen pen­ting serta peralatan elektrik.

“Saya menggunakan 12 tong untuk membina rumah rakit. Tahun ini saja sudah dua kali rumah ini beralih kerana air sungai naik,” katanya yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya.

Seorang lagi penduduk, Isa Mat, 60, berkata, sudah lima kali rumah rakit yang dibuat olehnya terapung disebabkan paras air su­ngai naik.

Katanya, rumah rakit itu boleh memuatkan seramai 20 ahli keluarganya.

“Kami tidak berhasrat berpindah ke pusat pemindahan kerana air sudah dijangka surut mulai ha­­ri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd. Sokani Mat berkata, penduduk kampung sudah bersedia menghadapi banjir apabila membuat persiapan membina rumah rakit itu sejak akhir tahun lalu.

Katanya, sejak tiga hari lalu, keluarga yang tinggal di kawasan rendah dan tebing sungai itu sudah memindahkan barangan ser­ta harta benda mereka ke atas rumah rakit berkenaan.

“Pengalaman bah kuning pa­da tahun 2014 lalu menyebabkan penduduk mendapat idea membi­na rumah rakit dan kami dapat mengurangkan kerosakan harta benda.

“Setiap keluarga mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 untuk membuat rumah rakit daripada kayu, buluh dan tong plastik ini,” katanya yang turut membuat rumah rakit.