KEMAMAN 17 Jun - Sebuah rumah yang didiami empat pelajar Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) Kampus Kijal di Jalan Bukit Anak Dara, Kampung Ibok di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azmi Abdul Rahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.23 malam.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian kesemua pelajar semester akhir Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerja itu tiada di rumah.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kebakaran di sini malam tadi.

Sementara itu, seorang mangsa, Zarif Haikal Zainal, 20, berkata, kesemua mereka keluar serentak pada pukul 9 malam bagi mengulangkaji pelajaran di rumah rakan masing-masing.

“Saya ada di Kijal dan merancang tidur di rumah kawan bagi mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan akhir Ahad ini manakala tiga rakan serumah lain pergi ke Cheneh.

“Sejak menyewa di sini tahun lepas sudah beberapa kali berlaku litar pintas dan terbaharu pada dua bulan lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE