KAPIT 29 Sept. - Seramai 86 penduduk hilang tempat tinggal setelah sebuah rumah panjang, Rumah Bada terletak di Song di sini, terbakar pagi tadi.
Kebakaran rumah panjang 16 pintu terletak kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan perahu panjang menyusuri sungai dari pekan Song itu dilaporkan pada pukul 6.28 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, Nasihin Jaum berkata, sebaik sahaja menerima laporan, beliau bersama tujuh anggota menaiki bot segera bertolak menjalankan operasi pemadaman, namun berdepan dengan kesukaran kerana air sungai cetak.
"Kami terpaksa menggunakan perahu panjang milik penduduk untuk meneruskan perjalanan ke Rumah Bada, menyebabkan sedikit kelewatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi pada 7.04 pagi, pihaknya mendapati rumah panjang satu tingkat berstruktur kekal itu telah terbakar seratus peratus.
Katanya, pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dengan dibantu oleh penduduk kampung menggunakan pam yang bersumberkan air dari sungai berdekatan. - UTUSAN ONLINE