Mangsa melibatkan pelajar perempuan masing-masing berusia 15 tahun dan kini dirawat di Hospital Teluk Intan akibat terhidup asap.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.30 petang melibatkan tingkat atas bangunan dua tingkat dan operasi memadam kebakaran sedang dijalankan.

Maahad Al-Islan mempunyai seramai 154 pelajar dan 25 guru.

Ia merupakan kejadian kebakaran yang ketiga yang berlaku di maahad tersebut selepas tahun 2013 dan 2017 yang melibatkan kebakaran stor.

Sementara itu, seorang pelajar, Nurul Nadiah Ahmad Nazli, 15, berkata, ketika kejadian dia dan rakan-rakannya baru selesai makan tengah hari.

Menurutnya, dia ternampak kepulan asap tebal dari tingkat atas bangunan yang merupakan tempat membaca para pelajar lalu berteriak memanggil rakan-rakannya supaya menyelamatkan diri.

Katanya, ketika itu terdapat kira-kira 50 pelajar di bangunan berkenaan dan semuanya berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Sebaik sahaja semua pelajar berada di tempat yang selamat, api marak dengan cepat namun saya bersyukur kerana semua rakan-rakan berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Pengetua maahad berkenaan, Agus Lokman Sulam berkata, kerugian dianggarkan RM500,000 apabila perabot, almari dan buku-buku musnah dalam kebakaran tersebut. - UTUSAN ONLINE