Demikian permintaan terakhir Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15, kepada ibunya, Nor Aziah Ropandi, 43, sebelum keluar bekerja bersama empat rakannya di sebuah premis rumah kedai yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini hari ini.

Nor Aziah berkata, dia hanya tahu kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu setelah dimaklumkan oleh jirannya yang juga bapa kepada salah seorang mangsa yang turut terkorban.

"Jiran datang dan beritahu, anak kita dah habis, anak kita dah rentung. Saya tak percaya tapi bila melihat keadaannya yang lembik, saya tahu dia cakap betul.

"Saya tidak sangka benda ini akan jadi. Acu memang anak yang baik dan selalu membantu saya. Dia bekerja pun katanya untuk cari duit lebih untuk belanja sekolah," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.54 petang itu, enam lelaki termasuk lima remaja dan seorang dipercayai pemilik premis ditemukan rentung dalam kebakaran yang dikatakan berpunca daripada bahan letupan.

Mereka yang dikenal pasti terkorban ialah Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16, dan Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15, serta P. Thiagarajan, 40. - UTUSAN ONLINE