Dalam masa sama, beberapa keluarga lain sedang bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat.

Kawasan itu dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 5 petang tadi.

Seorang penduduk, Mat Te Mat Sin, 49, berkata, jalan kampung itu untuk ke bandar ini juga telah dinaiki air menyebabkan kenderaan terkandas.

"Penduduk di kampung ini telah bersiap sedia memindahkan barangan berharga ke tempat selamat kerana bimbang air semakin naik melimpahi rumah," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Seorang penduduk, Mohd. Khairul Said, 42, berkata, air Sungai Galas melimpahi tebing dengan cepat berikutan hujan lebat berterusan.

Katanya, mereka yang berpindah adalah penduduk yang rumahnya berada di kawasan rendah dan pinggir sungai.

"Dalam masa empat jam mulai petang tadi, air Sungai Galas naik dengan cepat hingga ada penduduk tidak sempat untuk mengemaskan barang.

"Rumah saya sendiri dilimpahi air dan saya sudah berpindah ke rumah jiran. Setakat ini hujan masih belum reda," katanya. - UTUSAN ONLINE