ribut
Nasihat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi terhadap penduduk Perlis hari ini

Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai ribut atau kejadian luar biasa yang berlaku sepanjang tempoh ramalan itu daripada semalam hingga awal pagi ini.

Katanya, sebaliknya hanya hujan lebat selain laut bergelora di dua pantai yang menjadi tumpuan pelancong di Langkawi iaitu Pantai Chenang dan Pantai Tengah pada pagi semalam.

“Bagaimanapun, kita akan terus melakukan pemantauan di kesemua kawasan pesisiran pantai berikutan keadaan laut yang sedikit beralun meskipun cuaca cerah.

“Pelancong telah dibenarkan melakukan aktiviti air, namun anggota APM akan terus melakukan pemerhatian selain memberikan nasihat kepada orang ramai berhubung perkembangan cuaca dari semasa ke semasa," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pegawai APM Langkawi, Leftenan Azamshah Aperal berkata, para pengusaha sukan air seperti jet ski dan paragliding telah dinasihatkan supaya menangguhkan sementara aktiviti tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bagi orang ramai yang mahu mandi-manda, kita benarkan di kawasan yang telah ditandakan selamat untuk berenang," katanya.

Sementara itu, keadaan sama turut berlaku di Perlis apabila tiada sebarang kejadian ribut dilaporkan berlaku susulan pergerakan ribut tropika Pabuk tersebut.

Bilik Gerakan Bencana APM Perlis dalam satu kenyataan memberitahu, cuaca pada sebelah pagi di Perlis agak cerah dan mendung di beberapa kawasan.

Mengikut kenyataan itu juga, keadaan ombak dilaporkan normal dengan kelajuan angin di tepi pantai tujuh kilometer (km) sejam, namun pemantauan dan rondaan di kawasan pantai akan terus dilakukan tiga jam sekali.- UTUSAN ONLINE