Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri, Che Adam Abd Rahman berkata, kebanyakannya melibatkan bumbung dan dinding terkopak manakala hampir 30 kes pokok tumbang, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut beliau, sejurus selepas kejadian, tinjauan dibuat dan pihaknya bersama beberapa agensi lain  terus melakukan operasi pembersihan kawasan bagi memudahkan pergerakan awam.

"Pihak kami menamatkan operasi pembersihan pada pukul 2 pagi dan pagi ini kerja-kerja disambung semula, bermula di Kampung Sungai Kiat," katanya, di sini hari ini.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang melibatkan 35 buah kampung dan juga sekitar DUN Buluh Gading.

Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu,  ekoran kejadian ribut yang dianggap paling buruk itu, kerugian dianggarkan kira-kira RM500,000.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin memberitahu, sekurang-kurangnya 40 sekolah terjejas di dua daerah itu manakala lima buah di daerah Hulu Terengganu, dua di Dungun satu di Marang.

"Bagaimanapun semua sekolah beroperasi seperti biasa hari ini. Pihak jabatan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melakukan pembaikian segera bagi kerosakan kecil menggunakan peruntukan sedia ada. 

"Pihak PPD sedang mendapatkan anggaran kos bagi baik pulih kerosakan dengan menggunakan kepakaran Jabatan Kerja Raya.

“Pegawai Pendidikan Daerah dan pihak sekolah telah diminta mengemaskini laporan kerosakan dan membuat laporan polis bagi membolehkan permohonan kecemasan diajukan kepada Kementerian Pendidikan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE