Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Faizsal Che Me berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 5.33 pagi dan tiba di lokasi kejadian 23 minit kemudian.

“Setiba di lokasi didapati tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ribut tersebut. Namun pemeriksaan awal mendapati 12 rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat angin kuat tersebut.

“Sementara itu, 12 lagi rosak dihempap pokok. Selain itu, 10 kereta dan dua motosikal turut rosak sama ada dihempap pokok mahupun bumbung yang runtuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faizsal, kejadian ribut itu juga menyebabkan banyak pokok tumbang merintangi jalan selain sebuah surau turut mengalami kerosakan.

“Seramai 23 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi terlibat dalam operasi menyelamat dan memotong pokok yang tumbang di Kampung Kuala Melaka hari ini.

“Kita juga menghubungi pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) untuk memutuskan bekalan elektrik kerana banyak tiang elektrik di kampung berkenaan turut rosak akibat kejadian ribut tersebut,” ujarnya.

Selain itu difahamkan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan bencana banjir turut menimpa beberapa kawasan di daerah tersebut. - UTUSAN ONLINE