Muhammad Zairul Naim Zaini
Muhammad Zairul Naim Zaini

Sangkanya dia kuat untuk berhadapan segala kemungkinan. Namun secara tiba-tiba lututnya longlai sehingga perlu dibantu untuk terus berdiri setelah melihat jasad anaknya, Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, tergantung antara tingkat satu dan dua akibat tersepit pada lif barang di tempat kerjanya.

Menurut Zaini, dia menerima khabar duka mengenai kejadian tersebut setelah salah seorang rakan sekerja anaknya itu datang ke rumah di Kampung Paya Kuala Rimau, dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang.

"Rakan anak saya itu beritahu, majikannya meminta dia memaklumkan kepada saya dan isteri yang anak saya kemalangan. Tetapi dia sendiri tidak pasti kemalangan yang bagaimana dimaksudkan majikannya itu.

"Disebabkan itu, saya bergegas bersama isteri ke kedai perkakasan terbabit. Mulanya kami dihalang masuk, tetapi apabila saya berkeras dan diberi peluang masuk ke premis, saya langsung menjadi lembik dan terpaksa dibawa keluar dari situ bagi memberi laluan kepada bomba melakukan kerja," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dia masih belum tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

"Bahagian dada anak saya 'terkoyak' bermula dari bawah kerongkong hingga dada. Memang saya tak terfikir kejadian seperti ini boleh berlaku sejak dia mula bekerja di situ empat bulan lalu.

"Dia seorang anak yang baik. Apabila saya menasihatkannya supaya bekerja setelah tidak mahu lagi bersekolah ketika berusia 15 tahun, dia menuruti sehingga sudah mampu berdikari selepas melakukan pelbagai pekerjaan termasuk di Kuala Lumpur sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Mohd. Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.05 petang dan tiba ke lokasi kira-kira 25 minit kemudian.

"Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan beberapa peralatan khas," katanya.