Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, mangsa, Noor Najwa Saaidin, 19, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Sungai Lalang mahu membelok masuk ke arah Lagenda Height, Sungai Petani.

“Sementara kenderaan yang dinaiki empat individu tersebut dari arah pekan Sungai Petani menghala ke Sungai Lalang.

“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku disebabkan rempuhan yang kuat ditengah-tengah jalan semasa motosikal yang ditunggang mangsa sedang membelok ke kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sazalee, siasatan awal juga mendapati keadaan di tempat kejadian gelap namun berlampu dan terdapat kesan brek dan calar pada permukaan jalan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan remaja perempuan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 21 tahun itu mengalami luka di kaki kanan sementara seorang penumpang perempuan cedera pada bahagian kepala, pipi kiri, kedua-dua tangan dan lutut kanan.

“Pemandu dan penumpang kereta yang cedera ringan dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim manakala mayat remaja dibawa ke unit forensik untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” ujarnya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(10 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.