Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Mohammad Shafezwan Salim, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Al-Irsyad di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Rakannya yang membonceng motosikal itu, Mohammad Syamil Danial Ahmad Safri, 13, yang belajar di sekolah sama masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati, mangsa cuba mengelak sebuah motosikal Yamaha 135LC apabila penunggangnya dipercayai mengelak sebuah kenderaan kerana membrek secara mengejut.

“Mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan menghala ke Kuantan,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE