Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa Nurul Amira Abd. Halim, 16, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh sebuah motosikal lain yang ditunggangi seorang pemuda berusia 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangi pemuda terbabit melanggar tepi sebelah kanan motosikal yang ditunggangi rakan mangsa yang juga berusia 16 tahun.

"Mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis di Balai Polis Butterworth terpelanting ke arah seberang jalan dan maut di tempat kejadian manakala rakannya patah tangan dan kaki kanan dan pemuda terbabit patah kaki serta cedera di muka.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital kepala Batas untuk dibedah siasat manakala rakannya dan pemuda terbabit juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, polis memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan kerana kejadian berlaku di persimpangan yang tidak memiliki kamera litar tertutup.

Jelas Noorzainy, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE