MOHAMMAD ZULHAKIMI MOHD. HUSSAIN hancur empat jari kiri akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Paya Bemban dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Mohamad Hanif Samsudin

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam semalam, empat jari Mohammad Zulhakimi Mohd. Hussain, 13, hancur dan tidak dapat diselamatkan kecuali jari kelingking selain cedera di muka.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa keluar bermain mercun tersebut di rumah rakannya yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Ibu mangsa, Rosmazili Nek Ismail, 36, berkata, selepas berbuka puasa, anak sulung daripada empat beradik itu meminta izin untuk keluar dan berjanji akan pulang ke rumah sebelum pukul 8.30 malam.

“Dia janji pulang awal kerana kami sekeluarga bercadang untuk membeli baju raya. Siapa sangka kejadian ini akan menimpanya. Ketika itu, saya baru selesai makan sebelum jiran datang beritahu keadaan anak saya.

“Saya tidak sempat tengok anak kerana jiran terus membawanya ke hospital meman­dangkan kecederaan dialami amat teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Menurut Rozmazili, dia bersyu­kur kerana penglihatan anaknya tidak terjejas walaupun serpihan mercun tersebut turut terpercik ke bahagian mata.

Kes pertama angkara bermain mercun di negeri ini dilaporkan menimpa seorang remaja lelaki, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, pada 29 Mei lalu.

Mangsa buta mata kanan, cedera tangan kiri dan jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola yang diisi di dalam botol kaca meletup dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 malam di Kampung Panji, di sini.