Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Nor Izati Baharin, 14, menyelamatkan adik bongsunya, Nor Ain Hawanie, 5, yang sedang tidur daripada rentung.

Bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun mengalami sesak nafas kerana asap tebal dan api merebak dengan cepat.

Kejadian itu menyebabkan 12 pintu rumah kongsi pekerja kilang papan yang dihuni 12 keluarga itu terbakar dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Nor Izati ketika kejadian, dia bersama seorang lagi adik lelaki, Mohd. Aidil Idham, 11, sedang berada di dalam bilik.

Katanya, dia menyedari rumah kongsi mereka terbakar selepas melihat asap tebal dari rumah jirannya.

“Saya segera menjerit menyuruh adik lelaki keluar dan mengambil adik perempuan yang sedang tidur di dalam bilik.

“Saya dalam keadaan kelam kabut telah meredah api dan berlari keluar dari rumah. Ketika itu, saya hampir lemas menghidu asap tebal dan berasa panas kerana api sedang marak, tetapi saya bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Ketika kejadian bapanya, Baharin Mokhtar, 45, pula telah pergi ke stesen bas di bandar Gua Musang untuk menghantar isteri menaiki bas ke Kota Bharu. - UTUSAN ONLINE