Azizan Desa, 60, meninggal dunia pada pukul 6.50 petang dan dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anaknya Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, yang turut maut dalam kejadian itu di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa di sini.

Menurut anak sulung Azizan, Muhammad Rohaizad Azizan, 32, keluarganya amat bersedih dengan pemergian tiga ahli keluarganya namun tetap reda dengan kejadian tersebut.

“Sedih sekali apabila tiga anggota keluarga kami meninggal dunia selepas berlaku kemalangan tersebut.

“Allah menentukan segala-gala­nya dan terima kasih kepada semua pihak kerana melakukan perkara terbaik sehingga emak, adik dan bapa saya dapat dikebumikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun, adik perempuannya, Nurul Khairul Nisa Azizan, 19, yang cedera dalam kemalangan itu dibenarkan pulang dari Hospital Gerik dan kini berada di rumah.

Isteri dan anak lelaki Azizan iaitu Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan Muhammad Khairul Khawrizmie, 17, terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.

Kemalangan itu turut meragut nyawa pemandu dan penumpang kereta Nissan Frontier, Rosli Zakaria, 54, dan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Muhamad Syafiq, 23.

-habis-