Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, anggota daripada dua pasukan itu akan ditempatkan di plaza tol Ajil di Hulu Terengganu dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Kemaman sempena Ops Raya bermula semalam sehingga 20 Jun ini.

Katanya, rondaan sekurang-kurangnya dua kali sehari turut digerakkan di sepanjang LPT2 oleh balai-balai terlibat dalam usaha memberikan perkhidmatan cepat dan pantas kepada pengguna lebuh raya yang berdepan dengan kecemasan.

“Tumpuan kita adalah pada waktu puncak di antara pukul 10 dan 11 pagi di samping pada pukul 11 malam dan 12 tengah malam yang kita anggap lazimnya berlaku kemalangan.

“Selain LPT2, bomba juga akan meronda di Jalan Persekutuan dan negeri terutama lokasi yang dikenal pasti biasa berlaku kebakaran,” katanya pada sidang akhbar di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Rozizah Abni Hajar.

Menurut Azlimin, seramai 640 anggota JBPM negeri turut diarahkan bertugas seperti biasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan menjelang Hari Raya Aidilfitri manakala hanya 160 anggota sahaja dibenarkan bercuti.

Dalam pada itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 60 premis restoran, hospital, pasar raya dan tempat perhimpunan bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat-syarat keselamatan ditetapkan.

“Kita juga memberikan latihan pelepasan keluar dari tempat awam supaya masyarakat tidak panik dan tahu bagaimana hendak keluar jika berlaku kemalangan.

“Sebagai contoh menerusi tiga sesi latihan pelepasan keluar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan hasilnya beberapa kakitangan berjaya memadamkan kebakaran kecil yang berlaku di bilik bekalan tenaga kedua (UBS) kelmarin dengan sendiri dan ini merupakan perkembangan positif,” katanya. - UTUSAN ONLINE