Pegawai Khas Penyelaras DUN Tanjung Surat, Syed Abdullah Syed Abdul Mutalib berkata, mereka diminta segera menghubungi pihaknya agar tindakan dapat diambil.

“Setakat ini kita mendapat maklumat awal ada beberapa buah rumah penduduk sekitar mengalami kerosakan kecil namun kita masih mengumpul maklumat dan mengenal pasti penduduk di kawasan mana yang terjejas.

“Kita akan mengatur lawatan sekiranya kita mendapat maklumat itu dan kita akan berbincang dengan pihak Petronas bagi mengatasi masalah yang dialami penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, Syed Abdullah turut memuat naik kenyataan meminta agar penduduk menghubungi beliau di talian 018-9044008 bagi memaklumkan sekiranya rumah mereka mengalami kerosakan selain membuat laporan polis.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi itu berlaku satu letupan disusuli kebakaran di satu lot tapak berkenaan yang mengakibatkan dua cedera dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID.

Rakaman video kejadian tersebut menjadi tular dan dikatakan letupan itu menyebabkan gegaran hingga ke kawasan Pasir Gudang selain dikatakan terdapat beberapa rumah terjejas akibat letupan itu. - UTUSAN ONLINE