Seorang penduduk, Sim Seng San, 52, berkata, ketika kejadian pada pukul 1.25 pagi, dia baru hendak masuk tidur dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat daripada lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer daripada kampung itu.

“Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat, saya keluar rumah untuk mencari apa yang berlaku dan bertanya khabar jiran.

“Lepas itu saya tengok bumbung rumah mengalami sedikit kerosakan sebelum mengetahui letupan itu datangnya dari projek Rapid di sini,” katanya ketika ditemui.

Seng San berkata, ini merupakan pertama kali kejadian seperti itu berlaku sejak projek RAPID bermula kira-kira lima tahun lalu.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi itu, dilaporkan dua pekerja warga tempatan mengalami kecederaan selepas berlaku kebakaran di satu lot tapak projek RAPID Pengerang dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID. - UTUSAN ONLINE