Justeru terbukti bahawa hanya golongan bermasalah yang sanggup berbuat demikian tanpa menghiraukan soal nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurut Ketua Seksyen Psikometri dan Intervensi Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani (gambar), ramai dalam kalangan masyarakat hari ini ‘sakit’ berkaitan mental namun sering mengabaikannya serta tidak menerima rawatan.

“Malahan mereka kadang kala tidak tahu diri mereka sebenarnya ‘sakit’ dan jika tidak dirawat boleh menular menjadi lebih teruk seperti penyakit schizophrenia.

“Schizophrenia merupakan penyakit kecelaruan mental yang berpunca daripada tekanan hidup dan kemurungan yang berpanjangan,” katanya.

Katanya, beliau pernah menerima kes individu yang begitu tertekan dengan pelbagai masalah hidup, memandu dari utara tanah air hingga ke Kuala Lumpur kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke pantai timur tanpa arah tuju.

“Ada sesetengah masyarakat hari ini kita lihat normal dari segi luaran namun dalamannya bermasalah (psikologi),” ujarnya.

Jelasnya, golongan tersebut tahu dan celik peraturan namun sering melanggar undang-undang kerana bersikap ambil mudah akibat dipengaruhi oleh pemikiran bawah sedar.

“Masalah psikologi awalnya menjurus kepada empat perkara asas iaitu psikologi kognitif, biologi, kerohanian dan sosial.

“Jika keempat-empatnya tidak dipenuhi maka pastinya akan berlakunya gangguan dan ketidaknormalan ketika bertindak dan berfikir, dalam konteks ini adalah memandu di atas jalan raya,” katanya.

Tekanan perasaan akibat kerja, kepenatan serta persekitaran yang tidak kondusif menyebabkan ramai dalam kalangan pemandu kenderaan di negara ini sering terjejas kewarasan dan pertimbangan.