Itu yang dialami oleh Ili Aqila Ahmad Najib, 15, dan Nur Sa­dieq Hafizi Hamidun, 18, yang menyaksikan Muhammad Izani Shaipul Anuar, 18, dan Fadzlin Ilyana Fauzi Amir, 15, mati lemas dalam kejadian di kawasan air terjun di Lubuk Ular, Kampung Juang dekat Simpang Pulai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mayat kedua-dua mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di bahagian dasar sungai dengan kedalaman 4.5 meter.

Mayat Muhammad Izani dijumpai terlebih dahulu sebelum mayat Fadzlin dan kedua-dua mereka ditemui pada jarak tiga meter antara satu sama lain.

Menceritakan kejadian itu, Ili Aqila berkata, mereka pada mulanya mahu ke kawasan perkelahan di Lubuk Timah, namun bertukar lokasi apabila Muhammad Izani memaklumkan sungai di Lubuk Ular lebih menarik.

Katanya, kejadian berlaku apabila dia dan dua rakan lelakinya itu cuba menyelamatkan Fadzlin yang hampir lemas selepas remaja terbabit terjun ke dalam sungai dari atas batu.

“Ketika kejadian, kami semua tersangkut di tengah-tengah su­ngai, namun keadaan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Izani dan Fadzlin terlepas dan dihanyutkan arus deras, manakala saya dan Nur Sadieq Hafizi pula dibawa arus ke tebing.

“Saya cuba membantu mereka, namun dihalang oleh Muhammad Izani. Saya nampak mereka semakin lemah dan tidak cukup nafas sebelum kedua-duanya hilang daripada pandangan,” kata­nya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, Nur Sadieq Hafizi berlari ke jalan besar untuk me­minta pertolongan manakala dia menunggu di tebing sungai ber­kenaan.

“Ini kali pertama saya dan Fadzlin datang ke sini. Tidak sangka kejadian ini akan berlaku, malah semasa ke sana kami tidak terfikir pun tentang bahaya,” katanya.

Sementara itu ibu Fadzlin, Faridah Shuib, 48, berkata, walaupun masih belum mampu menerima kenyataan berhubung tragedi yang menimpa anaknya itu, dia sekeluarga tetap menerima kejadian itu dengan reda dan tabah.

Katanya, anaknya yang me­rupakan seorang yang periang menunjukkan perlakuan berbeza sejak akhir-akhir ini apabila lebih banyak mendiamkan diri.

“Sejak bulan puasa ini kami belum lagi berbuka puasa bersama-sama. Perangainya juga berlainan apabila dia tidak banyak bercakap dan lebih gemar mengasingkan diri,” katanya.

Jenazah Muhammad Izani dan Fadzlin masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya dan Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara.