Beliau berkata, radar pengesan itu digunakan pada hari pener­bangan pesawat Hawk pada Khamis lepas, sebelum nahas itu berlaku.

“Dari segi aspek penyiasatan, TUDM telah memperoleh bukti awal daripada radar pengesan dan masih terlalu awal untuk kami membuat kesimpulan de­ngan apa yang sebenarnya berlaku.

“Di lokasi nahas, TUDM berjaya menjumpai kedua-dua kerusi anjal pesawat Hawk dan bahagian besar bangkai pesawat itu yang tidak tertimbus di kawasan paya,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau kawasan nahas pesawat Hawk di Kampung Yak Yah di sini hari ini.

Menurut Affendi, selepas memperoleh komponen pesawat itu, TUDM membuat lakaran kasar untuk menentukan kemungkinan keadaan sebenar pesawat itu terhempas di kawasan berkenaan.

Ujarnya, bagi memastikan siasatan itu dijalankan dengan sistematik dan profesional, TUDM meminta kerjasama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan pihak pembuat pesawat Hawk bagi mendapatkan gambaran sebenar punca kejadian.

Ditanya sama ada pesawat itu telah menjalani pemeriksaan sebelum ia beroperasi, beliau menjelaskan bahawa pesawat itu sudah keluar daripada routine maintainance check iaitu tempoh pemeriksaan selama 500 jam dan mempunyai jadual penyelenggaraan.

“Selepas tamat tempoh terbang 500 jam, pesawat ini akan masuk untuk minor servicing (penyenggaraan kecil) di mana ia perlu dibuat functional check flight (penerbangan pemeriksaan fungsian) sebelum juruterbang berkelayakan menerbangkan pesawat itu untuk sesi penerbangan seterusnya,” katanya.

Affendi memberitahu, pesawat itu telah membuat penerbangan pertama pada Selasa lepas dan TUDM mendapati ia mengalami sedikit kerosakan dan telah dibaiki serta diterbangkan semula pada Rabu lepas.

“Waktu pesawat itu diterbangkan pada Rabu lepas, ia diisytiharkan sebagai pesawat yang telah menjalani pemeriksaan baik dan memenuhi aspek teknikal penerbangan,” katanya. – BERNAMA