Walau bagaimanapun, keadaan itu tidak seteruk seperti sebelum ini apabila hanya sebatang pokok tumbang di atas sebuah kenderaan dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan 11A1/12, Presint 11 di sini lebih kurang ‪pukul 5.20‬ petang.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri berkata, namun kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Pokok itu memang hampir tumbang ekoran kejadian ribut baru-baru ini, tetapi sebaliknya hari ini setelah hujan lebat selama 20 minit akhirnya ia rebah dan menghempap satu kereta jenis Proton Wira.

“Alhamdulillah, nasib baik tiada terkena pada orang ramai termasuk kanak-kanak yang menetap berhampiran lokasi kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan susulan.

“Saya berharap PPj ambil langkah pemantauan pokok-pokok di sini kerana kebanyakkannya sudah berusia dan memerlukan penjagaan rapi serta pemotongan pada dahan lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Putrajaya, Che Shaari Abdullah ketika dihubungi pihaknya masih belum menerima sebarang panggilan kecemaasan mengenai kejadian hujan ribut di sini.

Pada baru-baru ini, beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilanda ribut kencang pada ‪pukul 6‬ petang sehingga menyebabkan pokok tumbang dan menghempap beberapa kereta milik penduduk. - UTUSAN ONLINE