Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kekurangan kawasan hijau dan pembetungan yang sedia ada di bahagian pulau terbabit sudah tidak mampu meresap hujan lebat yang dicatatkan pada hari kejadian iaitu purata hujan adalah 250 milimeter (mm) sehari melebihi kategori hujan amat lebat iaitu 150 mm sehari dengan tempoh purata ulang melebihi 100 ARI.

“Situasi banjir di Pulau Pinang agak berbeza dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana bahagian pulau itu kekurangan kawasan hijau, ketiadaan kawasan untuk dijadikan tempat takungan limpahan air banjir malah penurapan jalan raya juga menyumbang kepada kesukaran meresap kapasiti air hujan terbabit dan ditambah air pasang menyebabkan air itu tidak ke mana.

“Banyak faktor yang menyum­bang namun hujan lebat luar jangkaan dan air pasang menjadi punca utama kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM1.04 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan langkah mengurangkan banjir di negeri itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-11 manakala projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang diluluskan dengan jumlah kos keseluruhan berjumlah RM150 juta yang akan bermula pada tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran hujan lebat dijangka terus berlaku di bahagian utara Semenanjung sehingga akhir bulan ini ekoran peralihan musim monsun antara monsun barat daya ke monsun timur laut.

Beliau turut menggesa semua pihak termasuk kerajaan tempatan mengkaji semula taburan hujan akibat perubahan cuaca di negeri masing-masing bagi merangka dan menaik taraf sistem pembetungan di bandar yang dilihat tidak lagi mampu menampung kerancakan pembangunan.