Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut diagihkan ke seluruh pusat pemindahan sementara (PPS) dan petugas juga akan me­ngunjungi setiap rumah mereka yang terlibat bagi menyalurkan barangan keperluan itu.

Katanya, bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman.

“Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu mangsa banjir di ne­geri ini. Saya ada bertemu Perdana Menteri pada Khamis lalu dan beliau meminta bantuan disegerakan kepada semua mangsa banjir.

“Bantuan yang diberikan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri turut meluangkan masa bertanya khabar mangsa di pusat pemindahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa kagum dengan sema­ngat dan komitmen seluruh jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan cukup baik bagi memastikan segala urusan membantu mang­sa banjir berjalan lancar.

Dalam masa sama, Mustapa berkata, beliau akan memanjangkan kepada kerajaan supaya menyegerakan projek pembinaan tebatan banjir di negeri ini.

“Tebatan banjir ini sudah lama dan kita sering berdepan masalah banjir setiap tahun dan kerajaan memang merancang untuk mempercepatkan projek tersebut yang dilihat bakal menyelesaikan masalah banjir di Kelantan,” katanya.