"Sejak  tiga tahun lepas saya membuat bantahan menerusi pelbagai saluran termasuk di persidangan Dewan Undangan Negeri dan menulis kepada kerajaan negeri tetapi tiada sebarang tindakan malah ia tetap diluluskan," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah yang ditemui di lokasi tanah runtuh yang menimbus  11 pekerja projek pembinaan itu, berkata pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya tiga projek perumahan di lereng bukit sedang dijalankan yang berisiko menyebabkan tanah runtuh.

Selain itu, Yee Cheu mendakwa terdapat 10 lagi projek perumahan di lereng bukit di kawasan berkenaan yang dalam proses diluluskan oleh kerajaan negeri.

"Semua pemakluman projek di kawasan Tanjung Bungah dihantar kepada pejabat saya untuk ulasan dan saya sendiri membantah sekeras-kerasnya termasuk projek di Lengkok Lembah Permai yang berlaku kejadian tanah runtuh itu," katanya.

Yee Cheu berharap tiga projek membabitkan perumahan puluhan tingkat yang sedang dijalankan dan 10 lagi yang dalam proses diluluskan dapat dihentikan terus supaya tidak berlaku lagi kejadian tanah runtuh seperti  semalam.

Beliau berkata, semua projek itu juga telah dibantah oleh penduduk tetapi tidak pernah diendahkan oleh pihak atasan berkenaan.

"Kawasan lereng bukit di Tanjung Bungah merupakan kawasan strategik dan ia memberi keuntungan kerana mempunyai nilai hartanah yang tinggi...sebab itu semakin banyak projek pembinaan terutama perumahan dibina di sini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan pemaju perlu bertanggungjawab berhubung kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan di Lengkok Lembah Permai itu.

Dalam kejadian pada 8.57 pagi semalam, 11 pekerja pembinaan perumahan mampu milik tertimbus apabila tanah di lereng bukit berhampiran projek itu runtuh. Sehingga 8 malam ini sembilan mayat telah ditemui.-BERNAMA