Pentadbir Mukim Dun Tendong, Abdullah Sulaiman berkata, kesemua mangsa banjir ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran air Sungai Golok semakin surut.

“Bagaimanapun, masih ada kawasan rumah penduduk kampung yang masih digenangi air, namun cetek sahaja,” katanya kepada pemberita ketika program gotong-royong di PPS Gelang Mas di sini hari ini.

Program tersebut melibatkan kira-kira 200 mangsa banjir dari Kampung Kolam dan Kampung Kalor yang bergotong-royong membersihkan kawasan SK Gelang Mas.

Jumlah mangsa banjir di negeri setakat pukul 12 tengah hari ini menurun kepada 1,733 orang dengan sebanyak 12 pusat pemindahan masih dibuka di tiga jajahan.

Sementara itu, paras air Sungai Golok menunjukkan trend menurun namun masih di paras bahaya iaitu 9.17 meter ekoran cuaca baik sejak semalam. - UTUSAN ONLINE