Sebaik tiba di Jambatan Su­ngai Kinchir pada pukul 3 petang ini, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bot jenis amfibia melalui Jalan Salong yang ditenggelami air sedalam satu meter sebelum ‘dijemput’ dengan bas sekolah untuk ke PPS Sekolah Kebangsaan Kinchir, Paloh Hinai.

Najib dan Rosmah kemudian­nya bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan warga emas yang ditempatkan di pusat pemindahan itu yang menjadi ‘rumah sementara’ kepada 53 mangsa daripada 15 keluarga dari sekitar Kampung Salong.

Selesai lawatan di situ, Najib dan isteri kemudiannya menaiki bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang meredah arus Sungai Pahang sejauh 20 kilometer yang memakan masa lebih 45 minit untuk ke PPS Tanjung Lepar.

PPS itu menempatkan 20 mang­sa daripada enam keluarga.

Selain bertanya khabar, Najib dan Rosmah turut sama menikmati ubi kayu dan keledek rebus serta pengat pisang yang menjadi juadah minum petang penghuni PPS itu.

Kesungguhan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan untuk bersama-sama mangsa banjir menyentuh perasaan penduduk Pekan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Lepar, Mat Lela Musa, 53, berkata, juadah itu dimasak khusus orang kampung secara bergotong-royong bagi menyambut kedatangan Najib dan Rosmah. – BERNAMA