Pada masa yang sama di pantai Palu,  beratus-ratus orang peserta Festival Pantai Palu seperti pemuzik, penyanyi, penari, pelakon dan pelbagai aktiviti kebudayaan yang bersiap sedia sempena ulang tahun kota tersebut langsung tidak menyedari bahaya yang sedang menanti.

Tsunami yang disamakan dengan kekuatan 200 bom atom di Hiroshima, mencetuskan ombak besar yang membawa lumpur hitam dengan kelajuan beratus-ratus kilometer sejam itu terus membadai pesisir pantai Palu tanpa belas kasihan. Ratusan manusia yang leka dengan aneka muzik di pantai itu turut lenyap.

Rakaman video amatur yang tular di media sosial dan ditayangkan oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan gelombang maut tsunami yang memasuki teluk yang sempit di pesisiran pantai itu meranapkan beribu-ribu rumah, hospital, pusat beli-belah dan hotel, manakala beberapa jambatan dihanyutkan dan lebuh raya utama ke Palu terputus akibat tanah runtuh.

Para saintis menyifatkan tsunami yang membinasakan Palu amat besar berbanding gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 yang menggegarkan Sulawesi Tengah itu.  

Namun begitu, pakar gempa di Institut Sains Bumi Grenoble, Anne Socquet yang mengkaji garis gelinciran seismik rantau itu berkata faktor lain termasuk teluknya yang  panjang dan sempit menyebabkan ombak gergasi terbentuk.  

“Bentuk teluk berkenaan sudah pasti memainkan peranan utama dalam menaikkan saiz gelombang. Teluk berkenaan bertindak sebagai corong di mana ombak tsunami melaluinya,” katanya. 

Menurut Pusat Data Informasi dan Humas  Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, Palu pernah dilanda tsunami pada tahun 1927 dan 1968.

Palu yang berasal dari perkataan ‘Topalu’e’ yang bermaksud ‘tanah yang terangkat’ wujud tatkala terjadinya gempa bumi dan pergerakan kerak ‘palu koro’ ribuan tahun lalu sehingga kawasan yang dulunya lautan terangkat membentuk daratan yang sekarang menjadi lembah kota Palu.

PESTA LGBT DI PANTAI PALU

Sebelum berlakunya tsunami dahsyat di Palu, tular video di media sosial tentang segolongan mahasiswa yang menggelar diri mereka komuniti LGBT Kota Palu yang dikatakan mengadakan pesta seks di pantai berkenaan. 

Mereka tanpa segan silu dikatakan sering melakukan perbuatan terkutuk itu secara terang-terangan selain merekrut orang lain untuk bergabung dalam komuniti LGBT di kota Palu.

Gerakan anti LGBT menyatakan salah satu grup LGBT yang banyak pengikutnya di media sosial ialah grup @gaykotapalu yang kini dianggotai 1,553 orang.

RUMAH BERGERAK SENDIRI

Saat gempa terjadi di Palu, beberapa buah rumah tenggelam sedalam lima meter akibat bumi terbelah serta gerakan bawah tanah yang menolak lumpur dan keladak. Malah, terdapat rumah penduduk berjalan sendiri seperti diseret akibat ditolak aliran banjir lumpur sejauh puluhan meter.

Malah beberapa buah rumah penduduk tempatan berubah posisi asalnya selepas tragedi itu.  
Semasa kejadian,  ada seorang gadis sedang menunggang motosikal nyaris maut apabila bumi terbelah secara tiba-tiba dan  beliau tenggelam separas leher. Mujurlah gadis itu berjaya diselamatkan penduduk.