ZAINAL DAHALAN
ZAINAL DAHALAN

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan berkata, ekoran banjir teruk melanda bahagian utara tanah air, Bilik Gerakan Bencana Banjir beroperasi 24 jam bermula hari ini di Ibu pejabat LPP bagi menerima aduan dan mengambil tindakan kepada ahli-ahli LPP yang ditimpa musibah akibat banjir.

“Setakat ini kita belum mendapat keluasan sebenar keseluruhan sawah-sawah padi terutamanya di Seberang Prai yang terjejas teruk akibat banjir. Kita masih menunggu maklumat terkini.

“Tetapi di bahagian selatan Kedah, seluas 2,457 hektar sawah padi terjejas teruk akibat banjir. Kemusnahan melibatkan pokok padi yang baru ditanam, saliran, ban dan benteng sawah padi serta peralatan menanam.

“Ini melibatkan sebanyak 1,500 pesawah terutamanya di Karangan, Merbok, Kuala Muda dan Padang Serai Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Integreti LPP 2017 di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara LPP di sini, hari ini.

Zainal berkata, sebanyak 400 projek ternakan sangkar ikan milik ahli LPP di Pulau Aman Pulau Pinang turut musnah akibat banjir.

“Pesawah dan pengusaha-pengusaha ikan sangkar memang terjejas teruk. Malah ada pengusaha ternakan kambing di Kampung Pellet juga mengalami kerugian besar akibat banjir.

“LPP akan berusaha membantu ahli-ahli LPP yang terjejas ini dalam pelbagai bentuk bantuan.

“Tetapi buat masa ini kita masih mengumpulkan maklumat dan membuat bancian atas kemusnahan yang berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE