“Mereka (individu yang me­lakukan rasuah) mungkin di penjara, berapa lama bergantung pada tahap kesalahan ra­suah. Tahap rasuah yang berbeza memerlukan hukuman yang berbeza. Tetapi kami belum mencapai tahap bagi hukuman penjara seumur hidup,” katanya.

Dr. Mahathir menjawab soalan sama ada beliau menyokong hukuman mati bagi pemimpin yang melakukan rasuah selepas beliau menyampaikan syarahan bertajuk Cabaran Tadbir Urus Yang Baik Dalam Negara Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Universiti Oxford hari ini.

Menurutnya, individu yang didapati bersalah melakukan rasuah oleh mahkamah di Malaysia akan dihukum penjara dan di sesetengah negara, pesalah rasuah ditembak mati tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Dalam syarahannya, yang menyentuh mengenai negara Islam dan sistem demokrasi, Dr. Mahathir berkata, negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi perlu lebih banyak masa untuk memahami pelaksanaan demokrasi.

“Kalau anda tidak faham mengenai kuasa undi dalam demokrasi, maka anda tidak boleh mengamalkan demokrasi,” katanya sambil menambah di beberapa negara Islam, mereka lebih selesa dengan sistem monarki.

Di sesetengah negara Islam, peralihan kepada sistem demokrasi telah membawa bencana terhadap negara-negara berkenaan, katanya.

“Setiap kali mereka cuba melaksanakan sistem demokrasi, akan ada pertempuran antara mereka dan negara itu hampir musnah,” katanya.

Dalam sistem demokrasi, beliau berkata, rakyat memilih kerajaan dan menyokong kerajaan untuk tempoh masa tertentu.

Bagaimanapun, di beberapa negara Islam, mereka tidak sanggup menunggu sehingga tamat tempoh tersebut dan mahu perubahan segera selepas pilihan raya, katanya.

“(Ia) masa untuk mereka menghormati undi dan me­nubuhkan kerajaan yang menggunakan kuasa untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi, walaupun 60 peratus daripada penduduknya beragama Islam dan rak­yatnya taat kepada raja.

Sistem ini dianggap berjaya kerana rakyat Malaysia mempunyai raja dan mereka juga mengamalkan sistem demokrasi, katanya.

“Kami (di Malaysia) tidak suka keganasan. Kami tidak menggu­lingkan kerajaan sehingga kerajaan itu bertukar dengan sendirinya,” katanya dan disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Pe­ngarah OCIS, Dr. Farhan Nizami dan Felo Pengajian Islam di OCIS, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti.

Pada lawatan sulungnya ke Pusat Pengajian Islam Oxford pada 1996, Dr. Mahathir pernah menyampaikan ceramahnya yang terkenal bertajuk Islam Agama yang Diselewengkan.

Sejak penubuhannya pada tahun 1985, pusat ini telah menampilkan ramai tokoh terkemuka untuk bercakap mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan dunia Islam.

Di dalam premisnya yang baharu, pusat ini mempunyai beberapa ruang kuliah yang khusus termasuk Auditorium Malaysia bagi perkembangan programnya. – BERNAMA