Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, bantuan itu merangkumi keperluan di 73 pusat pemindahan utama di seluruh negara selain membabitkan 2,131 buah sekolah serta 3,004 buah pusat lain seperti dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti.

Beliau memberitahu, kesemua bantuan di bawah peruntukan itu disediakan bagi memenuhi keperluan 1.56 juta mangsa banjir yang dijangka ditempatkan di kesemua pusat pemindahan berkenaan.

“Kita mahu semua agensi dan jabatan di bawah kementerian saya serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gembleng tenaga menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

“Selain bantuan makanan, kita akan tumpukan kepada bantuan dari sudut psikologi kerana mang­sa banjir alami trauma, gundah gulana selepas berpindah. Jadi, saya sudah arahkan dari segi pengisian jiwa agar mereka terutama kanak-kanak dan orang tua diberikan kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional 2016 di Kemaman Waterfront di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rohani berkata, bagi tujuan itu, jumlah kaunselor akan ditambah untuk ditugaskan di pusat pemindahan memandangkan jumlah 183 kaunselor sedia ada belum memadai.

Beliau juga berkata, pada masa ini terdapat lima depoh yang menempatkan stor bencana serta pangkalan hadapan dengan menjalin kerjasama dengan pembekal utama seperti Pasaraya Tesco dan Mydin.

Kesemua lima depoh itu, jelasnya, adalah di Sungai Buloh, Selangor; Kemumin, Kelantan; Bidong, Kedah; Marang, Terengganu dan Muar, Johor.

Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian bahawa kementeriannya menyediakan aplikasi info banjir bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makkumat terkini mengenai perkembangan semasa bencana.

Jelasnya, sesiapa sahaja boleh memuat turun aplikasi itu menerusi google play store dan info terkini itu sentiasa dikemaskini setiap pagi mengenai apa sahaja berkaitan banjir.