Nor Izati Salehudin, 47, berkata, hatinya sudah mula berdetik sesuatu yang pelik apabila suaminya membeli pakaian baharu kepada lima anaknya dan memaklumkan ia untuk persiapan raya, kerana Aidilfitri masih jauh lagi dan itu adalah kali pertama arwah berbuat demikian.

“Saya tidak tahu perubahan sikap arwah itu adalah petanda awal dia pergi meninggalkan kami sekeluarga tetapi jauh di sudut hati saya memang terdetik sesuatu yang pelik.

“Malah, arwah juga memeluk erat anak-anak dan saya sebelum keluar rumah pada Rabu lalu untuk mengambil kontena berisi papan lapis dari Mentakab, Pahang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Suhaimi maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4, Lebuh Raya Selat Klang Utara di sini, malam semalam.

Nor Izati yang mempunyai lima anak berusia 10 hingga 21 tahun itu memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Suhaimi selepas solat maghrib oleh rakan sekerja suaminya.

Katanya, suaminya itu sempat menghubunginya kira-kira pukul 3 petang dan memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke Pelabuhan Klang.

“Itulah kali terakhir dia bercakap dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kemalangan berlaku setelah mangsa yang memandu lori jenis Mercedez Actros difahamkan gagal mengawal kenderaan sebelum terbalik.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala,” katanya.

Mazelan berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.