Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd. Roslan Mohd. Zawawi, 32, sedang bertugas bagi membantu sebuah kereta BMW yang ditunda sebuah lori selepas terbabas di lorong sebelah kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis, Zulkefly Yahya berkata, bagaimanapun, ketika membuat kawalan, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah lori tunda lain yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun yang datang dari lorong kanan selepas hilang kawalan lalu melanggar bahagian kiri sebuah kereta Perodua Kenari.

"Akibat kemalangan itu, mangsa telah tercampak ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia akibt cedera parah di bahagian kepala di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah meletakkan kon amaran sejauh 40 meter di lorong kiri dan menyala lampu kecemasan di motosikal peronda semasa kerja penundaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalankan proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987." katanya.- UTUSAN ONLINE