Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) berkata, kerajaan negeri perlu mengumumkannya dengan segera bagi memudahkan puluhan ribu mangsa di negeri ini membuat permohonan dan tidak terkecuali daripada menerima bantuan berkenaan.

Pada masa sama, menurutnya, sumbangan pelbagai pihak kepada ‘tabung’ DAP juga perlu dibahagikan secara telus tanpa mengira fahaman politik dan kawasan mengundi bagi membuktikan kerajaan negeri betul-betul mengutamakan rakyat.

“Bantuan pihak luar begitu banyak dan dikumpulkan dalam tabung DAP. Jangan pula mereka minta mangsa banjir mendaftar masuk ke parti itu sebelum bantuan disalurkan. Ini tidak betul dan mereka perlu malu sekiranya perkara ini dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga ADUN Air Puteh mengumumkan program Pulau Pinang Bangkit termasuk menyediakan sumbangan RM500 kepada 100,000 isi rumah dan potongan surcaj konservasi air kepada pengguna domestik dan komersial yang keseluruhannya berjumlah RM100 juta.

Pada 20 September lalu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan RM400 secara one-off kepada mangsa banjir tetapi difahamkan, orang ramai perlu mendaftar sebagai pengundi dengan ahli politik tertentu sebelum mendapat bantuan berkenaan.

Selain itu, Jahara berkata, pihaknya menyifatkan dana khas kerajaan negeri sebagai tidak mencukupi memandangkan rakyat perlu menanggung kerugian besar, namun bantuan tersebut hanya sekadar mahu meringankan beban mangsa.

Pada masa sama, katanya, pihaknya meminta kerajaan negeri menyediakan koordinasi yang jelas untuk mengumpul dan mengagihkan bantuan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan bencana alam dengan teratur.

Ini kerana katanya, menerusi peruntukan program itu, kerajaan negeri dilihat gagal memberi peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan yang ketika ini sedang menguruskan timbunan sampah dan perabot rosak di tepi jalan raya. - UTUSAN ONLINE