Pasukan itu terdiri daripada kakitangan dan pegawai Dewan Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Daerah Gerik dan Majlis Daerah Selama yang ditubuhkan di bawah skuad bencana.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menge­tuai pasukan itu berkata, bantuan yang disalurkan tersebut merentasi batasan politik kerana banjir yang berlaku merupakan masalah kemanusiaan apatah lagi Pulau Pinang berjiran de­ngan Perak.

Menurutnya, program itu turut mendapat kerjasama beberapa pemimpin negeri antaranya Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

“Bersama saya hari ini adalah separuh daripada Exco kerajaan negeri Perak yang turun sama membantu penduduk Pulau Pi­nang yang menjadi mangsa banjir Sabtu lalu.

“Antara aktiviti kami di sini adalah membersihkan rumah-rumah penduduk yang teruk terjejas dengan disertai bukan sahaja pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tetapi juga agensi sukarela,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain menziarahi mangsa yang masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Padang Menora, Zambry turut membantu membersihkan rumah
penduduk di Kampung Padang Menora serta menziarahi warga emas di Kampung Padang Chempedak.

Jelasnya, kumpulan itu dipe­cahkan kepada beberapa kumpulan bagi menguruskan kerja-kerja pembersihan di sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas yang paling terus dinaiki air.

“Kita juga bawa sukarelawan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan yang turut sama membantu meringankan beban penduduk.

“Selain itu kita juga dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” ujar­nya.