Tinjauan Utusan Malaysia di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi mendapati, penduduk perumahan di sekitar Lengkok P. Ramlee dan Jalan Chik Matt di sini terus bertungkus-lumus membersihkan rumah dan membuang peralatan yang rosak di hadapan kediaman masing-masing.

Seorang penduduk, Hasbullah Mohd. Khalid, 47, berkata, dia bersama anak-anak berusia antara tujuh hingga 27 tahun terpaksa membuang sofa, almari, tilam dan pakaian rosak di hadapan rumah sejak Ahad lalu, namun masih belum dibersihkan pihak berwajib sehingga hari ini.

“Mungkin Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak cukup pekerja untuk membersihkannya dalam masa singkat cuma kita bimbang kalau sampah ini dibiarkan akan menyebabkan masalah kesihatan kepada penduduk,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian yang dibuat di kawasan berhampiran, terdapat kira-kira enam pekerja am menaiki sebuah lori MBPP sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan berkenaan. - UTUSAN ONLINE